"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama" -Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi-

Tuesday, May 31, 2011

Sesuci Syahadah.

Beberapa kali darah tersembur keluar dari mulut Haziq. Dengus demi dengus semakin kasar kedengaran. Tidak ubah seperti haiwan yang mendengus selepas baru sahaja disembelih. Namun di saat itu kalimah 'Lailahaillallah' masih meniti di bibir tanpa henti.
Sebuah kereta sewa berhenti untuk memberikan pertolongan, namun belum sempat diangkat masuk Haziq telah menghembuskan nafasnya buat kali yang terakhir. Gadis itu bingung, cuma air mata yang mengalir deras membasahi pipi.
"Ya Allah, aku memohon kepadamu tempatkanlah dia di kalangan orang yang mendapat keredhaan-Mu, kurniakanlah dia bidadari Syurga yang layak baginya, dan kurniakanlah diri ini keampunan dan hidayah-Mu," pohonnya dengan khusuk.

 .........................................................................................................................................
Amirah Haziqah binti Abdullah, nama yang menggantikan nama 
dulunya Airin, nama yang diambil sewaktu gadis itu mengucapkan syahadah menjadi kenangan buat Amir Haziq yang membantunya mencari sinar di sebalik kegelapan hidup dirinya. Gadis itu masih berteleku di atas sejadah menyelak helaian al-Quran tafsir kecil berwarna merah kepunyaan Haziq. 

Sesudah selesai dia membuka sebuah diari lusuh yang menjadi temannya mengumpul kekuatan.
"Selamat malam diari kesayanganku, malam ini engkau sekali lagi berjasa untuk aku meluahkan perasaanku, gadis itu.. Airin telah menceritakan kisah hidupnya kepadaku, aku tidak dapat menahan air mataku dari tumpah apabila mendengar ceritanya. Aku amat simpati terhadapnya. Apa yang mampu aku lakukan? Aku juga insan biasa.
Tidak!!! Dia tidak jijik. Bahkan dia seperti bayi yang suci andai hidayah Allah miliknya.

Diariku, hati ini telah dilamar oleh dia, aku cukup takut andai aku mendekatinya bukan kerana ikhlas mengajarkan Islam tetapi aku takut aku dekat padanya kerana hawa nafsu..
Airin,
Benar hati ini sudah dimiliki..
Hati ini telah dimiliki oleh Allah dan Rasul-Nya..
Dan hati ini sentiasa inginkan agar hati engkau juga dimiliki-Nya..
Aku benar berharap kalimah suci 'lailahaillallah' meniti di bibirmu..
Berkongsi syahadah yang suci bersamamu..
Andai sesuci syahdah itu menjadi milikmu...
Aku akan melamarmu menjadi teman hidupku..
Ya Allah sesungguhnya kepada-Mu lah hamba-Mu ini berserah..
Ampunilah dosa ibu dan ayah yang membesarkan..
Kurniakanlahku keluarga yang bahagia..


Isteri yang solehah..
Keturunan yang mencinta-Mu..
Dan kurniakanlah kami kebahagiaan dunia akhirat..
Kekalkanlah syahadah suc-Mu ini di hati kami..
Ameeennn..

Diari lusuh itu ditutup rapat kembali, air mata yang bergenang diseka lembut. Itulah tulisan terakhir Amir Haziq yang ditulis di dalam diarinya. Diari dan sebuah Al-Quran tafsir merah kecil diberikan keluarga Haziq kepadanya kerana merasakan bahawa dialah yang layak menyimpannya.
Dalam hatinya berkata, "Haziq terima kasih kerana engkau membantu ku merasai nikmat yang kau ingin kongsi bersamaku, terima kasih kerana engkau membenarkan hatiku dimiliki pemilik hatimu, akan kubawa syahadah  yang suci ini sentiasa bersamaku."
Amirah merenung ke luar jendela. Di luar jendela hujan yang renyai telah berhenti. Mentari mula terbit di ufuk timur, pelangi yang indah merentasi langit. Di dalam hatinya bertasbih memuji kehebatan ilahi. Dia kini yakin bahawa setiap ujian yang datang ada hikmahnya.

No comments:

Post a Comment