Ya Allah ya rabbku.. Jadikan aku tabah seperti Ummu Khadijah Sehingga dirinya digelar afifah solehah Dialah itu wanita pertama Tiada ragu untuk mengucap syahadah Pengorbanannya bersama Rasulullah Susah senang bersama Walau hilang harta kerana berdakwah Walau dipulau 3 tahun 3 bulan Imannya sedikit pun tak berubah Mampukah aku setabah dirinya?
Ya Allah Ya Rahman Andai baru diuji sedikit sudah rebah.. Baru dihina sudah mengalah Ya Allah..tabahkan aku sepertinya..
Ya Allah.. Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahrah Betapa tinggi kasihnya pada ayahandanya Tidak pernah pula putus asa pada perjuangan dakwah baginda Anak yang semulia peribadi baginda Tangannya itulah yang membersihkan luka Tangannya itulah jua yang membersihkan cela Pada jasad Rasulullah tercinta Gagahnya dirinya pada dugaan Mampukah aku sekuat Fatimah?
Ya Allah,Rabbul Izzati Saat diri terluka, dendam pula menyapa Saat disakiti, maki pula mengganti Ya Rabbi..teguhkan hatiku sepertinya..
Ya Allah.. Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumaiyah Tukang sisir yang beriman dan Keluarga Yasir yang bertakwa Sungguh kesabaran mereka menggoncang dunia Iman tetap terpelihara walau nyawa dijadikan taruhan Mampukah sabarku seperti mereka? Tatkala digoda nafsu dunia.. Entah mana hilangnya Iman di dada
Ya Allah,Ya Rahman.. Kuatkan Imanku seperti Masyitah Terjun penuh yakin bersama bayi ke kuali mendidih Kerana yakin Allah pasti disisi Sabarkan aku seperti Sumaiyah Biar tombak menusuk jasad diri.. Iman sedikit pun takkan rapuh
Ya Allah.. Jadikan aku semulia Ummu Sulaim Perkahwinannya dengan Abu Talhah atas mahar Iman Islamlah Abu Talhah sehingga menjadi sahabat Rasulullah Betapa hebatnya tarbiyyah isteri pada suami Hinggakan segala panahan ke Rasulullah pada hari uhud Disambut dengan belakang jasad Abu Talhah
Ya Allah..ya Rabbku Tarbiyyahkan aku pada cinta sepertinya Tingginya nilai cinta pada harga Iman.. Mampukah aku menatap cinta itu? Sedangkan rupa yang menjadi pilihan Ketulusan Iman diketepikan Ya Allah.. Ilhamkan aku pada cinta sepertinya..
Ya Allah... Jadikan aku sehebat Aisya Humaira Isteri termuda Rasulullah Biar dilempar fitnah Dia tetap teguh pada ketetapanNya Isteri sejati yang memangku Nabi Pada saat terakhir baginda Hadis dan Sunnah Rasulullah dipertahankan Betapa hatimu seorang mujahidah
Ya Allah.. Mampukah aku contohi dirinya? Pada fitnah yang melanda Diri mula goyah dan putus asa Teguhkan Imanku sepertinya.. Ya Rahim..
Ya Allah.. Teringat diri pada Khansa Empat orang anaknya mati di Jalan ALLAH Dia meratap tangis.. Anak sulungnya syahid Anak keduanya turut syahid Anak ketiganya dan keempat jua mati syahid Namun tangisan itu bukan kerana pemergian anak tercinta Jawabnya kerana tiada lagi anak yang dihantar untuk berjihad
Ya Allah..Ya Tuhanku Mampukah aku kelak menjadi ibu yang berjihad ? Sedangkan pertanyaan tentang tak tutup aurat pun masih tidak terjawab Sedangkan tinggalkan solat pun buat tak kisah Berikan diriku kekuatan sepertinya.. Agar bersedia pada akhirat. Wahai kaum Adam yang bergelar khalifah.. Diriku bukan setabah Ummu Khadijah Bukan jua semulia Fatimah Az-Zahrah Apa lagi sesabar Masyitah dan Sumaiyah Mahupun sehebat Ummu Sulaim Dan tidak seteguh Aisya Humaira Kerana diriku cuma An-Nisaa akhir zaman
Dimana Aurat semakin dibuka terdedah Dimana syahadah hanya pada nama Dimana Dunia yang terus dipuja Dimana nafsu fana menjadi santapan utama Dimana batas sentiasa dileraikan Dimana ukhwah sentiasa dipinggirkan Wahai Kaum Hawa Kita cuma An-Nisaa Para pendosa yang terbanyak di neraka Lantas walau tak setabah para Mujahidah Namun Tabahlah pada ketetapan Allah Kerana padanya ada Syurga!
Walau tak semulia para wanita sirah Tapi muliakan diri dengan agama yang memelihara kerana padanya ada Pahala! Walau tak sesabar para wanita solehah Namun sabarkan jiwa pada nafsu dunia yang menyeksa Kerana padanya ada bahagia!
Sesungguhnya Hawa tercipta dari Tulang rusuk kaum Adam Bukan untuk ditindas kerana lemah Tapi untuk dilindungi kerana Indah dan Indah apabila tertutup terpelihara Kerana disitulah terjaganya Syahadah Bak mekarnya wanita dalam sirah Tuntunlah kami ke arah syurga.. Bicara dari An-Nisaa yang hina.. Makbulkan doaku.. Aamiin..
"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh atau solehah dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri.Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sedikitlah orang yang memberi peringatan."
No comments:
Post a Comment