"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama" -Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi-

Saturday, December 31, 2011

Lepaskan Gari Dunia Dari Jiwa.

Assalamualaikum. Hari ini, saya nk share satu artikel yang diambil dari laman LANGIT ILAHI.
Selamat membaca. ^^  Semoga bermanfaat.





Dalam kehidupan ini, banyak perkara yang memperdaya kita.

Kadang, dengan kebaikan sendiri pun kita boleh terpedaya.

Ya. Kita memang tidak lari daripada kenyataan yang manusia akan terpedaya jika tidak menjaga dirinya.

Kerana kita hidup di atas dunia, bukan lagi syurga. Maka, segala kenikmatan dan kesenangan yang di atas dunia yang bersifat fana ini seringkali memperdaya kita. Majoriti besar manusia terpedaya dengan perangkap-perangkap yang disediakan di atas dunia hinggalah tergari hati-hati mereka daripada berhubung dengan Allah.


KADANG KITA TERLUPA YANG DUNIA INI CUMA SEMENTARA




Kita selalu terlupa bahawa dunia ini bukanlah tempat hidup kita untuk selama-lamanya.
Dunia ini medan menguji cuma. Melihat siapakah di antara hamba-hambaNya
yang terpedaya dan yang benar-benar menjaga dirinya.

Melihat siapakah di antara hamba-hambaNya yang mengorbankan kehidupannya
untuk dunia sehingga melupakan kampung asalnya.

Dunia. Yang mampu diberinya cuma itu sahaja. Tidak lebih daripada itu.
Ia bukan syurga, tempat kita bersenang-lenang dan menikmati segala.

Kadang, ada orang yang begitu bersungguh-sungguh untuk dunianya.

Tetapi, kemudian dia mengabaikan akhiratnya. Dia lupa menyediakan tempat untuknya di syurga.

Di dunia, mungkin dia berusaha sekuat dan semampu mungkin untuk mencari kedudukan  yang baik di  tempat kerja, tetapi kemudian dia lupa akan tempatnya nanti di syurga, maka dia meninggalkan usaha ke sana.
Hidupnya hanya untuk dunia.

Bangun pagi, pergi kerja, malam sudah penat balik tidur. Hari-hari keesokan, diulang perkara yang sama. Kadang, bila rasa tertekan, dicari hiburan-hiburan maksiat untuk menghilangkan rasa tertekan di jiwanya.


KITA ADA KEHIDUPAN YANG KEDUA, YANG KEKAL SELAMANYA

Kadang bila ditanya, “Apa kau nak buat dalam kehidupan ini?”
“Aku nak belajar sungguh-sungguh, lepas tu aku nak kerja. Dapat kerja aku kahwin.”
“Kau tak rasa ‘plain’ kehidupan kau? Membesar, belajar, bekerja, kahwin lepas tu mati. Semua tu macam biasa je.”

Memang kehidupan ini akan ‘plain’, terasa biasa, tidak ada apa keistimewaan kalau kita hidup pun seperti biasa seperti kehidupan orang bukan Islam.

Kita muslim, ada kehidupan yang lebih baik daripada itu, kenapa tidak kita memanfaatkannya?
Kita beriman dengan adanya hari akhirat, tempat perhitungan segala amal kita sewaktu di dunia.
Kita beriman adanya kehidupan kedua untuk kita di sana, kehidupan yang kekal selama-lamanya.
Maka, bagaimana menjadikan hidup ini terasa begitu luar biasa sekali?

Sediakanlah bekalan untuk hari keduamu di sana. Sementara hari pertama kau masih di dunia, berusahalah sedaya mungkin untuk menyiapkan bekal untuk ke sana.



Orang yang luar biasa adalah yang melihat dunia daripada jendela akhirat. Segala tindakannya semua dinilai dengan neraca Allah. Dinilai dengan neraca iman.

Yang menjadikan mereka lebih luar biasa lagi adalah mereka takut untuk bermaksiat ketika tidak ada siapa yang memerhatikan kerana mereka tahu bahawa Yang Menciptakan mereka sentiasa memerhatikan mereka.


DUNIA YANG BERUSAHA MENGGARI, JAGALAH DIRIMU

Telah banyak mata-mata yang dikelabui oleh dunia. Padahal dunia ini tidaklah lebih nilainya berbanding akhirat di sisi Allah.

Bahkan, dunia itu sebagaimana digambarkan dalam sabda Rasul s.a.w. hanyalah umpama ketika kita mencelup jari ke dalam lautan, kemudian kita mengangkat jari kita dan titisan yang tinggal di jari kita cuma itu sahajalah perumpamaan nikmat dunia.

Diriwayatkan dari Mustaurid radhiallahu ‘anhu bahwasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Demi Allah! Perbandingan dunia dengan akhirat adalah seperti seseorang dari kalian yang memasukkah satu jarinya ke laut, hendaknya dia melihat, seperti apa jari itu kembali.” [HR Muslim]

Tetapi, nikmat yang sebanyak itupun sudah memperdaya ramai manusia. Ramai yang memasang gari pada jiwanya dengan dunia. Kalau boleh, dia mahu hidup selama-lamanya di dunia.
Bila jiwa tergari dengan dunia, maka terlepaslah kita dari Allah s.w.t. Saat itu kita dibelenggu dalam rantai-rantai kehinaan.

Lihatlah maksud sabda Nabi s.a.w. yang telah menggambarkan akan kehinaan dunia ini:
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. melihat kepada bangkai anak kambing yang dibuang oleh tuannya, lalu baginda berpaling kepada para sahabatnya dan bersabda: “Adakah kamu melihat betapa hinanya bangkai kambing itu di sisi tuannya, demi Allah dunia ini lebih hina di sisi Allah melebihi kehinaan kambing tersebut di sisi tuannya. Kalaulah nilai dunia ini menyamai nilai sebelah sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi seteguk airpun untuk minum sikafir.”

[HR Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Hakim]


PENUTUP : JADI HAMBA KEPADA ALLAH, BUKAN HAMBA KEPADA DUNIA

Dunia ini memang hina, tetapi bukan bermakna kita perlu meninggalkan ia begitu sahaja dan berusaha untuk akhirat sahaja. Tidak.

Yang memilih kehidupan begini juga sudah tersilap besar.

Kita telah hidup di atas dunia, maka kita gunakan dunia sebagai jambatan ke syurga.
Tidak cukup juga kalau hanya sekadar mengeluh dan mengeji tipudaya dunia sedang kita duduk sahaja tidak berusaha mengubah apa-apa yang ada pada diri dan sekeliling kita.
Jadilah seperti Abd Rahman bin Auf. Usahawan berjaya di zaman Rasulullah s.a.w. Dunia pun berjaya, syurga pun jadi miliknya.

Kerna dia tidak sekadar berniaga untuk dirinya, tetapi manfaat daripada perniagaannya disumbangkan untuk orang-orang Islam.

Inilah peribadi yang hebat. Ada dunia, tetapi tidak tertipu dengannya. Dunia sebesar manapun tetap dipegang hanya di tangannya, bukan di hatinya. Kerna iman menjadi paksi hidupnya, maka dunia itu dimanfaatkan untuk hari kedua di sana. Jadilah seperti mereka, hamba kepada Allah dengan sebenarnya, bukan hamba kepada dunia.

p/s :-

* teringat satu hadis, "Bekerjalah kamu seolah kamu akan hidup 1000 tahun lagi, dan beribadahlah kamu  seolah olah kamu akan mati pada esok hari."

*Orang yang luar biasa adalah yang melihat dunia daripada jendela akhirat.
Segala tindakannya semua dinilai dengan neraca Allah. Dinilai dengan neraca iman.

* Esok sudah masuk tahun 2012, semoga tahun ini lebih baik daripada tahun lepas ^^
Tahun 2012 juga, saya akan menduduki peperiksaan PMR. Doakan saya dan rakan2 ye !  J

No comments:

Post a Comment